Stesen Keretapi Ipoh, Hotel Majestic bakal berwajah baharu
Aida Aziz
Jun 29, 2024 09:00 MYT
Jun 29, 2024 09:00 MYT
IPOH: Perbadanan Aset Keretapi (RAC) akan melaksanakan kerja baik pulih dan naik taraf kemudahan di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh.
Perkara itu disahkan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin yang berkata, kerja naik taraf itu akan dilaksanakan pada penghujung tahun ini dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Menurutnya, Hotel Majestic di situ yang terbiar dan usang sejak sekian lama juga akan termasuk dalam senarai untuk dibaik pulih.
"RAC memaklumkan, bulan Ogos nanti akan dibuat pelantikan kontraktor untuk naik taraf stesen kereta api dan Hotel Majestic.
"Jangkaannya hujung tahun ini akan mula. Saya sudah bincang dengan pihak mereka dan mereka bersetuju untuk baik pulih stesen tersebut supaya kedua-duanya cantik, barulah kita dapat suasana menarik.
"Hotel Majestic itu akan kekal menjadi hotel. (Pihak) untuk mengawal selia perkara itu, ia akan dilantik oleh RAC," katanya.
Rumaizi menambah, bajet keseluruhan bagi projek itu dikawal selia oleh RAC dan Hotel Majestic dijangka dijadikan hotel penginapan para pelancong yang berkunjung ke Ipoh.
Digelar sebagai Taj Mahal Ipoh, bangunan putih ini dibina oleh AB Hubback, iaitu arkitek British sama yang membina bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.
Stesen Keretapi Ipoh yang awal merupakan bangunan kayu sebelum pembinaan stesen keretapi kedua dibuat menggantikan stesen lama bermula pada tahun 1914.
Stesen berusia lebih 100 tahun ini yang menjadi pintu masuk utama kepada pengguna rel ke Ipoh menerima kejadian ribuan pengguna setiap hari termasuk pengunjung luar.