Stesen Kereta Api Kajang 2 mula operasi Isnin ini

Bernama
Mac 10, 2023 17:48 MYT
Perkhidmatan tren pertama adalah pada 6.15 pagi dari Stesen Kajang 2 menuju stesen KL Sentral dan tren terakhir dari KL Sentral ke Kajang 2 pada 10.45 malam hari bekerja. - RAC
PUTRAJAYA: Stesen Kereta Api Kajang 2 akan mula beroperasi Isnin ini (13 Mac) dengan 46 perkhidmatan tren beroperasi pada hari bekerja dan 33 perkhidmatan pada hari minggu dan hari kelepasan am.
Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan tren pertama adalah pada 6.15 pagi dari Stesen Kajang 2 menuju stesen KL Sentral dan tren terakhir dari KL Sentral ke Kajang 2 pada 10.45 malam hari bekerja.
Pada hari minggu dan kelepasan am, tren pertama dari Kajang 2 ialah 7.11 pagi dan tren terakhir dari KL Sentral pada 10.43 malam manakala kekerapan tren adalah 30 minit pada waktu puncak dan 60 minit di luar waktu puncak.
"Ia bakal memberi pilihan kepada penduduk di kawasan Kajang dan Bangi untuk menikmati kemudahan pengangkutan awam yang lebih selamat dan kondusif," kata RAC yang menggalakkan pengguna menggunakan kad Komuter Link atau Touch 'n Go sebagai mod bayaran.
Stesen Kajang 2 memiliki 500 petak parkir, fasiliti mesra Orang Kurang Upaya (OKU), lapan kios dan jejantas pejalan kaki dengan lif serta mampu mengendalikan 400 penumpang pada satu-satu masa.
"Pengendalian tapak parkir dioperasikan oleh Srijang Kemajuan Sdn Bhd dengan caj maksima RM5.50 sehari," menurut kenyataan itu.
RAC berkata dua stesen kereta api berhampiran iaitu Stesen Kajang dan Bangi masing-masing mencatatkan jumlah pengguna seramai 1,328 sehari atau 484,688 orang setahun dan 624 orang atau 227,611 orang setahun pada tahun lepas.
-- BERNAMA
#Stesen Kereta Api Kajang 2 #mula operasi #Perbadanan Aset Keretapi #KL Sentral
;