Stesen janakuasa TNB di Kenyir beroperasi semula

Bernama
Julai 3, 2022 12:53 MYT
Stesen Janakuasa Sultan Mahmud di Kenyir kembali memperkasa Grid Nasional apabila keempat-empat unit janakuasanya berjaya dimulatugaskan tiga bulan lebih awal daripada perancangan asal. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) di Kenyir, milik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Hulu Terengganu kembali memperkasa Grid Nasional apabila keempat-empat unit janakuasanya berjaya dimulatugaskan tiga bulan lebih awal daripada perancangan asal untuk menyalurkan bekalan elektrik.
Stesen yang terpaksa dihenti tugas pada 27 Februari lalu akibat kejadian tanah runtuh berikutan hujan lebat yang luar biasa, beroperasi sepenuhnya pada 26 Jun 2022.
Seminggu sebelumnya (19 Jun 2022), mula tugas unit 1 dan 2 janakuasa SJSM telah disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir. Baharin Din dari Pusat Kawalan Muatan Kuasa Nasional (NLDC) di Kompleks Ibu Pejabat TNB, di Bangsar.
"Harapan kita agar keempat-empat unit penjanaan SJSM dengan kapasiti keseluruhan 400MW beroperasi dalam keadaan baik dan terus memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia dari segi tenaga hijau," kata Baharin dalam kenyataan di sini hari ini.
SJSM apabila beroperasi kapasiti penuh mampu menyumbang secara purata 1,600 gigawatt-jam setahun, sekali gus menghindari pelepasan 537,600 tan karbon dioksida (CO2) jika menggunakan sumber bahan api fosil (gas), yang juga bersamaan pelepasan karbon daripada 116,869 kenderaan di jalan raya setahun.
Pada masa sama, penjanaan tenaga sebanyak itu secara hidro dapat mengelak kos bahan apidengan anggaran RM463 juta setahun jika menggunakan arang batu sebagai bahan bakar berikutan kenaikan luar biasa harganya kesan krisis bahan api dunia susulan pandemik dan diburukkan lagi oleh perbalahan Rusia-Ukraine.
Skim hidroelektrik keempat beroperasi pada 2027 di Kelantan
Justeru, pemulihan SJSM ini mengukuhkan kembali penjanaan tenaga hijau TNB melalui tigaskim hidroelektrik iaitu skim hidroelektrik Hulu Terengganu di Terengganu, Cameron Highlands di Pahang dan Sungai Perak di Perak.
TNB juga sedang membangunkan skim hidroelektrik keempat di Nenggiri, Gua Musang, Kelantan dengan kapasiti 300MW yang dijangka mula beroperasi pada 2027, katanya.
-- BERNAMA
#SJSM #Stesen Janakuasa Sultan Mahmud
;