Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi di Sabah beroperasi semula Mac ini
Bernama
Januari 1, 2024 19:48 MYT
Januari 1, 2024 19:48 MYT
TENOM: Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi (SJHTP) milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dijangka beroperasi semula pada Mac ini setelah turbin penjana Unit 3 yang berkapasiti 22MW dapat dipulihkan sepenuhnya.
Pengurus Besar Kanan Pengurusan Aset SESB Idris Mohd Noor berkata kerja-kerja membaik pulih Unit 3 telah siap sepenuhnya di Pusat Pembaikan TNB Remarco (TNB Repair and Maintenance Sdn Bhd) dan akan mula dipasang di SJHTP tidak lama lagi.
Beliau berkata pada masa yang sama, kerja-kerja pembersihan terowong air hidro di SJHTP sedang giat dilakukan oleh anggota kerja SESB dan kontraktor yang dilantik.
"Apabila siap nanti, air dari Sungai Padas akan dapat disalur masuk melalui terowong dan memutar turbin Unit 3," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Idris berkata bagi meningkatkan margin simpanan kapasiti bekalan di dalam grid bekalan elektrik, SESB juga telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga untuk menyewa beberapa unit generator yang akan dipasang di lokasi terpilih.
"Antara generator berkenaan ialah satu unit 10MW yang akan dipasang di Stesen Tawau dan pelbagai unit genset berkapasiti hingga 30MW yang akan dipasang di Stesen Labuk Sandakan," katanya.
Pada akhir 2022, SESB memaklumkan SJHTP terpaksa ditutup sementara atas faktor keselamatan akibat banjir dan tanah runtuh melanda kawasan itu yang menjejaskan stesen terbabit.
-- BERNAMA