Steam dikemas kini dengan sokongan rakaman skrin dan ulang tayang

Amanz
Jun 27, 2024 15:06 MYT
Steam telah dikemas kini dengan ciri rakaman skrin baharu. -Amanz
JIKA anda bermain permainan video dengan PC, aplikasi Xbox ada menawarkan Game Bar dengan sokongan rakaman skrin tetapi ia tidak begitu mesra pengguna.
Kaedah lain adalah menggunakan aplikasi pihak ketiga yang biasanya perlu bayar untuk dapatkan ciri terbaik.
Terbaharu, Steam telah dikemas kini dengan ciri rakaman skrin baharu.
Ciri ini adalah Game Recording dan ia masih dalam fasa beta. Selain merakam, ciri Clip membenarkan pengguna menyunting video seperti mengubah saiz atau potong ke saat yang lebih penting.
Ciri Replay pula membolehkan ciri ini merakam detik penting untuk ulang tayang klip beberapa saat. Replay hanya berfungsi dengan permainan yang menyokong Steam Overlay.
Terakhir adalah Share yang memudahkan pengguna berkongsi hasil rakaman skrin ke peranti lain, dalam ruang sembang bersama rakan atau terus kongsi ke dalam bentuk MP4.
Ciri rakaman skrin baharu turut boleh berjalan di latar dan melalukan rakaman skrin automatik untuk terus simpan ke dalam storan peranti pengguna.
Game Recording Beta ini boleh diuji oleh pengguna Steam di PC dan juga pengguna Steam Deck. Ia adalah ciri percuma tanpa sebarang bayaran.
Jika selama ini anda mencari kaedah merakam skrin ketika bermain video yang percuma, ini peluang anda.
Untuk mencuba pergi ke Settings dalam Steam, pilih Interface kemudian pilih Beta Participation. Terdapat dua pilihan sama ada Steam Beta Update atau Steam Families Beta, pilih salah satu.

Selepas selesai pergi ke Settings dan cari Game Recording. Kemudian pilih mod rakaman, sama ada Background atau On Demand Recording. -Amanz

#Steam #Game Recording Beta #ciri rakaman skrin baharu #ulang tayang klip
;