STB, STATOS dan Scoot jalin kerjasama jadikan Sarawak destinasi 'bleisure'
Astro Awani
Oktober 22, 2024 19:16 MYT
Oktober 22, 2024 19:16 MYT
KUALA LUMPUR : Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) meneruskan usahasama dengan rakan strategik Scoot dan Perdagangan Sarawak dan Pejabat Pelancongan (STATOS) di Singapura dalam mengekalkan momentum pelan pelancongannya.
Memorandum itu menandakan satu langkah penting dalam mempromosikan Sarawak dengan tawaran yang pelbagai meliputi lanskap pelancongan global.
Dalam kerjasama dengan Business Events Sarawak (BE Sarawak) dan STATOS, STB buat julung kalinya menganjurkan Sarawak Bleisure Networking Session, meletakkan Sarawak sebagai destinasi perjalanan kerja sambil riadah atau 'bleisure' yang ideal pada peta dunia terutamanya di Singapura.
Perkongsian strategik ini bertujuan mengukuhkan perjalanan masuk dari Singapura ke Sarawak dengan 14 penerbangan mingguan yang dikendalikan Scoot, peningkatan daripada 10 penerbangan mingguan pada 2022.
Ini akan menggalakkan tarikan pelancongan kebudayaan dan pengembaraan di rantau ini sambil memacu trafik yang lebih besar.
"Kerjasama ini menyerlahkan komitmen berterusan STB untuk mencipta peluang untuk pertukaran budaya, kerjasama perniagaan, dan perkongsian pengetahuan, selanjutnya mengukuhkan peranan Sarawak sebagai pintu masuk utama ke Borneo," kata STB dalam kenyataan hari ini
Sementara itu, dalam kenyataan sama Menteri Seni Persembahan Pelancongan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak dan Singapura berkongsi hubungan yang telah lama terjalin, dibina atas dasar saling menghormati, pertukaran budaya, dan kerjasama ekonomi.
"Perkongsian ini adalah mengenai memanfaatkan pengaruh global Singapura dan peranannya sebagai persimpangan untuk perjalanan antarabangsa dan perniagaan, membolehkan kami memperkasakan tawaran unik Sarawak kepada dunia," jelas beliau.
Katanya lagi, melalui perkongsian bermakna seperti ini, Sarawak sekaligus akan mengukuhkan kedudukan sebagai salah satu destinasi yang sedang meningkat naik di Asia Tenggara.