Statut Rom: Kerajaan tidak melemahkan Majlis Raja-Raja - Khairuddin

Astro Awani
Mac 11, 2019 19:42 MYT
KHAIRUDDIN: Apa maksud TMJ mendakwa langkah kerajaan untuk menyertainya akan menjadikan Raja-Raja Melayu tidak relevan? - Gambar AWANI / SHAHIR OMAR
Kewajaran penyertaan Malaysia dalam Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) merupakan keputusan yang dirujuk daripada Majlis Raja-Raja Melayu sendiri.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, keputusan itu sendiri sudah disembah maklum kepada Yang Di-Pertuan Agong pada 15 Januari lepas.
"Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempersoalkan kewajaran penyertaan Malaysia dalam Statut Rom ICC.
"Apa maksud TMJ mendakwa langkah kerajaan untuk menyertainya akan menjadikan Raja-Raja Melayu tidak relevan dan memberi kesan kepada kedudukan Melayu serta Islam di negara ini? Ini satu andaian yang tidak berasas sama sekali.
"Hakikatnya, pemimpin-pemimpin dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mempertahankan institusi Raja-Raja, Melayu dan Islam. TMJ tidak harus mempersoalkan lagi pendirian kami yang selaras dengan Perlembagaan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
BACA: "Dia bukan wakil rakyat" - Tun M jawab TMJ
BACA: Keputusan sertai Statut Rom tidak jejas kedudukan Agong - Wisma Putra
Tunku Ismail dalam laman Facebook milik beliau pada Ahad menyifatkan, penyertaan Malaysia dalam Statut Rom dibuat secara terburu-buru tanpa pertimbangan menyeluruh dengan mengambil kira implikasi undang undang yang serius terutama terhadap kedaulatan Malaysia dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Wisma Putra, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia menyertai Statut Rom bagi ICC pada Isnin.
Penyertaan Malaysia dalam Statut Rom ICC juga mencerminkan komitmen negara terhadap usaha-usaha membanteras jenayah antarabangsa untuk mencapai keamanan dan keselamatan sejagat.
Dalam pada itu kata Khairuddin, tiada individu yang perlu merasa gusar dah risau seandainya sentiasa berkelakuan baik.
"Negara dan dunia ini ada undang-undang. Kita bukan hidup di zaman batu.
"Semua individu tertakluk pada undang-undang. Di negara kita pun mempunyai mahkamah khas untuk bicarakan salah laku mana-mana kerabat DiRaja secara seadil-adilnya," jelasnya.
Dalam pada itu katanya, TMJ tidak perlu mengungkit isu perjuangan membela rakyat Palestin.
"Tun Dr Mahathir Mohamad dari dulu, kini dan selamanya secara konsisten membela perjuangan rakyat Palestin.
"Perdana Menteri sanggup hilang hak untuk menganjurkan majlis sukan renang paralimpik dunia yang sepatutnya dianjurkan oleh Malaysia semata-mata mempertahankan prinsip bela rakyat Palestin.
"Kalau TMJ ingat sejarah, Dr Mahathir adalah tokoh yang menganjurkan tribunal untuk mendakwa bekas Presiden Bush dan bekas Perdana Menteri United Kingdom Tony Blair yang telah melakukan kezaliman jenayah perang pada suatu masa dahulu," tegasnya.
Khairuddin turut menyatakan kesediaannya untuk duduk semeja bersama TMJ dan memainkan peranan secara proaktif membela rakyat Palestin.
Pada Isnin, Dr Mahathir berkata, Tunku Ismail bukan seorang wakil rakyat dan kenyataan yang dibuat TMJ hanya bersifat peribadi.
#Khairuddin Abu Hassan #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #Saifuddin Abdullah #Statut Rom ICC #Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa #Tengku Mahkota Johor #Tunku Ismail Sultan Ibrahim #Wisma Putra
;