Status vaksin ditukar kepada tidak lengkap jika tiada dos penggalak bermula 1 April

Ridauddin Daud
Februari 24, 2022 18:50 MYT
Khairy berkata, tempoh akhir untuk mereka mendapatkan dos penggalak yang sebelum ini ditetapkan pada 28 Februari telah dilanjutkan. - Gambar hiasan/ Bernama
PUTRAJAYA: Penerima vaksin Sinovac dan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang menerima semua jenis vaksin, diberikan tempoh sehingga 31 Mac 2022 untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.
Sekiranya gagal berbuat demikian, status vaksinasi mereka akan bertukar kepada tidak lengkap.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tempoh akhir untuk mereka mendapatkan dos penggalak yang sebelum ini ditetapkan pada 28 Februari telah dilanjutkan.
“Tempoh masa sebelum ini adalah pada 28 Februari tapi untuk mudahkan golongan ini mendapatkan dos penggalak dan status mereka tidak diubah, KKM setuju untuk lanjutkan tempoh sehingga 31 Mac.
“Bermula 1 April, status vaksinasi lengkap untuk golongan tersebut akan ditukar kepada tidak lengkap sekiranya masih belum dapat dos penggalak,” katanya pada sidang media Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya pada Khamis.
Astro AWANI pada 7 Februari lepas melaporkan status vaksinasi individu yang sebelum ini telah menerima dos lengkap vaksin Sinovac serta mereka yang berusia 60 tahun ke atas akan bertukar menjadi tidak lengkap, sekiranya tidak mendapatkan suntikan dos penggalak sebelum 1 Mac.
Khairy berkata, berikutan itu individu terbabit tidak layak untuk menerima kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin COVID-19, serta berdepan dengan beberapa sekatan.
Menurutnya, setakat tarikh tersebut, terdapat lebih kurang 32 peratus atau sejuta juta warga emas yang masih belum mengambil dos penggalak.
#dos penggalak #Sinovac #warga emas #Khairy Jamaluddin
;