Status petugas kontrak RTM akan diketahui dalam masa terdekat - Gobind
Bernama
November 26, 2018 19:52 MYT
November 26, 2018 19:52 MYT
Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mengadakan perbincangan dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) berhubung kedudukan petugas berstatus kontrak.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata diharapkan keputusan berhubung permintaan agar kakitangan RTM diserapkan ke jawatan tetap itu akan dicapai dalam masa terdekat.
“Terima kasih. Perkara ini dalam perhatian saya. Senarai telahpun dikemukakan dan perbincangan antara RTM dan KKMM sedang dijalankan. Harap ada keputusan dalam masa terdekat,” katanya dalam catatan Twitter beliau hari ini, sebagai respons terhadap cadangan @wanpersis mengenai isu tersebut.
@wanpersis meminta jasa baik Gobind mempertimbangkan agar kakitangan kontrak di Jabatan Penyiaran Malaysia, RTM diserapkan ke status tetap berikutan kebanyakan kakitangan berstatus kontrak di RTM telah bekerja 10 tahun ke atas serta berpengalaman.