Status mediasi ganti rugi RM345,305 dalam kes saman Awal, Scha-D'Haja diketahui 23 Dis
Bernama
November 17, 2020 17:57 MYT
November 17, 2020 17:57 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 23 Dis sebagai pengurusan kes bagi mengetahui status mediasi berhubung ganti rugi berjumlah RM345,305 yang perlu dibayar sebuah syarikat pembekal tekstil D'Haja (Malaysia) Sdn Bhd kepada pasangan selebriti Awal Ashaari dan isterinya Scha Al-Yahya.
Peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili pasangan suami isteri itu berkata tarikh hari ini dilapangkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang selama empat minggu mulai 9 Nov hingga 6 Dis depan.
"Disebabkan PKPB, semua sesi ditangguhkan. Pengurusan kes ditetapkan pada 23 Dis (untuk status mediasi) di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd Tahar," menurutnya menerusi aplikasi WhatsApp.
Pada 8 Sept lepas, Mahkamah Tinggi mencadangkan supaya pihak yang terlibat berbincang untuk menyelesaikan jumlah ganti rugi secara baik menerusi mediasi tanpa melalui proses rayuan.
Jika kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian, mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar rayuan D'Haja bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang dibuat pada 27 Mac 2019.
Pada 3 April 2019, D’Haja memfailkan rayuan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan tuntutan Awal, atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, dan isterinya Scha atau Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir terhadap syarikat itu berhubung dakwaan pelanggaran kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi jenama Bleu dan Maroon keluaran pasangan tersebut.
Pasangan selebriti itu memperoleh ganti rugi RM345,305 selepas menang dalam saman mereka terhadap D'Haja.
Hakim Mahkamah Sesyen Shamsudin Abdullah turut memerintahkan defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM10,000 serta faedah sebanyak lima peratus bermula dari tarikh pemfailan sehingga pembayaran penuh dan kos RM5,000 kepada kedua-dua plaintif.
Mahkamah Sesyen turut membenarkan tuntutan balas D’Haja dan memerintahkan pasangan selebriti itu membayar RM55,000 selepas mendapati mereka memungkiri perjanjian dengan menjual sendiri minyak wangi tersebut ke Brunei.
Menerusi saman yang difailkan pada 30 April 2018, Awal dan Scha berkata mereka telah memasuki kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi jenama Bleu dan Maroon dengan D’Haja pada 11 Okt 2016 selama dua tahun iaitu sehingga 10 Okt 2018.
Bagaimanapun, mereka mendakwa D’Haja gagal melaksanakan tanggungjawabnya selaras dengan terma asas perjanjian selain gagal memulangkan sejumalah 3,215 botol minyak wangi yang dikatakan rosak, gagal menyediakan rekod transaksi jualan dan enggan membayar tuntutan kerugian itu.
-- BERNAMA
#d'haja
#Awal Ashaari
#Scha Al-Yahya
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKPB
#mediasi
#ganti rugi