Status harta sepencarian JJ RM2 bilion belum capai penyelesaian
Sinar Harian
Mei 3, 2023 19:41 MYT
Mei 3, 2023 19:41 MYT
KUALA LUMPUR: Usaha mencapai status penyelesaian berhubung harta sepencarian Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis yang dianggarkan melebihi RM2 bilion masih belum mencapai kata putus.
Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini menetapkan 16 Ogos depan untuk sebutan bagi semua pihak mengemukakan hujahan.
Hujahan tersebut sama ada kesemuanya bersetuju dengan penyelesaian atau perlu dibicarakan dengan tuntutan.
Sebelum ini, balu Jamaludin, Puan Sri Kalsom Ismail memfailkan tuntutan harta sepencarian terhadap empat anaknya dan ibu mentuanya.
Empat anak Kalsom ialah Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla, serta ibu mentua, Aminah Abdullah, 89, dengan semuanya dinamakan sebagai defendan pertama hingga kelima.
Peguam syarie, Nur Hidayah A Bakar yang mewakili Aminah berkata, ada beberapa perkara telah dibangkitkan oleh kedua-dua pihak dalam prosiding berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Abdul Shukor Abd Hamid.
Katanya, masih belum ada penyelesaian atau kata muktamad dicapai, maka kesemua pihak diberi peluang berbincang sebelum 16 Ogos untuk mencari jalan penyelesaian.
"Ada perkara yang berjaya mencapai kata sepakat dan ada juga perkara yang belum mendapat penyelesaian kerana wujud perkara dipertikaikan oleh kedua-dua pihak.
"Maka semua pihak diminta mengemukakan hujahan (berhubung penyelesaian) sebelum tarikh sebutan," katanya yang ditemui di Mahkamah Tinggi Syarie Kuala Lumpur pada Rabu.
Semalam, media melaporkan status penyelesaian kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2 bilion difailkan Kalsom terhadap empat anaknya dan ibu mentuanya yang dijangka akan diketahui hari ini.
Dalam kes itu, Kalsom, 67, memfailkan tuntutan harta sepencarian, termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi serta saham dalam beberapa syarikat tempatan.
Beliau memfailkan tuntutan harta sepencarian terhadap harta termasuk 20 hartanah di Malaysia, Arab Saudi dan beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan empat anak itu dan Aminah.
Pada 28 Ogos tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang daripada pernyataan tuntutan.
Pada 4 April 2015, Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.
Turut maut juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita dikenali Aidana Baizieva. - Sinar Harian