Status darurat di Muar dan Ledang mungkin ditarik balik

T K Letchumy Tamboo
Jun 24, 2013 11:12 MYT
Darurat yang diisytiharkan akibat bencana jerebu di seluruh daerah Muar dan Ledang mungkin akan ditarik balik.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel berkata ini adalah kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Muar mencatakan bacaan 170 setakat pukul 5 pagi.
"Jabatan Alam Sekitar akan terus pantau situasi jerebu.
"Jabatan Alam Sekitar juga akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai status darurat di Muar dan Ledang.
"Sekiranya situasi menjadi stabil di tahap tersebut, maka status darurat akan ditarik balik," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib membuat pengisytiharan darurat tersebut selepas IPU di Muar telah melebihi 500 iaitu tahap kecemasan.
Semasa jerebu teruk yang berlaku pada tahun 1997, negeri Sarawak mencatat IPU 800 dan negeri itu diisytiharkan darurat jerebu selama hampir seminggu.
Semasa jerebu pada tahun 2005 pula, pengisytiharkan darurat jerebu dibuat di seluruh kawasan Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang selepas kedua kawasan tersebut masing-masing mencatatkan bacaan 531 dan 529.
#darurat #jerebu #ledang #Muar
;