Status agama dan bangsa dalam MyKad kekal - Muhyiddin
Astro Awani
April 28, 2019 21:21 MYT
April 28, 2019 21:21 MYT
Status agama dan bangsa di dalam kad pengenalan MyKad akan kekal seperti proses pendaftaran sedia ada, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, sekiranya ada perubahan, perkara itu hendaklah diperhalusi secara teliti sebelum sebarang keputusan berhubung perkara itu dibuat.
Muhyiddin berkata, perkara mengenai pengguguran status agama pernah dibangkitkan tetapi tiada berubahan dibuat serta belum ada permohonan rasmi bagi meminda perkara itu.
Katanya, ia juga bertentangan dengan Perlembagaan dan berkait dengan hak istimewa orang Melayu.
"Boleh timbul perkara senstif dari pihak satu kaum kepada kaum lain, (jadi) kita kena perhalusi… kita kekalkan status pendaftaran.
“Soal latar belakang penama itu sama ada dia Melayu, Cina dan India, kita masuk di situ.
“Ini pandangan Ahli Dewan Negara dan kita hormati pandangan mereka," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan buku ‘Bersatu Bermulanya Di Sini’, di Johor Bahru, pada Ahad.
Pandangan mengenai cadangan pengguguran identiti agama di MyKad sebelum ini pernah disuarakan Senator Dewan Negara dari DAP, Nga Hock Cheh dengan alasan rakyat lebih mementingkan perpaduan.
Tegas Muhyiddin, terdapat perkara pokok yang lebih penting sedang dihadapi negara.
#Menteri Dalam Negeri
#Muhyiddin Yassin
#mykad
#Nga Hock Cheh
#Perlembagaan Persekutuan
#Status agama dan bangsa