Ringkasan AI
- Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia, Nazaria Baharudin, menekankan bahawa data yang tepat dan menyeluruh adalah asas penting dalam memastikan setiap dasar dan program kerajaan memberi manfaat terbaik kepada rakyat.
- Statistik nasional memainkan peranan kritikal dalam perancangan dan pelaksanaan dasar yang berkesan, termasuk kadar pengangguran, kemiskinan, dan penyertaan tenaga buruh.
- Sambutan ulang tahun ke-75 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan tema 'Statistik Nadi Kehidupan' melibatkan pelbagai program dan aktiviti untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan statistik, dengan majlis penutup disempurnakan oleh Perdana Menteri pada 2 November 2024 di Pulau Pinang.
Menurut beliau, statistik nasional memainkan peranan kritikal dalam perancangan dan pelaksanaan dasar yang berkesan.
“Kadar pengangguran, kemiskinan, penyertaan tenaga buruh, serta indikator demografi semuanya bergantung kepada maklumat daripada penduduk.
“Oleh itu, pengumpulan data ini amat penting sebagai asas kepada perancangan,” jelas Nazaria.
Menurut beliau, maklumat yang diperoleh melalui bancian dan kaji selidik menjadi asas utama dalam merangka dasar-dasar penting seperti dasar pendudukan negara, dasar mengenai penuaan, serta strategi untuk sektor pertanian dan ekonomi.
“Keputusan berasaskan bukti sangat diperlukan di peringkat negara.
“Dengan data yang tepat, kita dapat memastikan setiap dasar dan program kerajaan benar-benar memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya dalam program AWANI Pagi pada Sabtu.
Hari Statistik Negara 2024, yang bertemakan “Statistik Nadi Kehidupan”, dianjur sempena peranan besar yang dimainkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam membantu kerajaan membuat keputusan berasaskan bukti sejak sekian lama.
Sambutan ulang tahun ke-75 DOSM ini turut melibatkan pelbagai program dan aktiviti untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan statistik, termasuk larian obor, Step Fun Run, debat, dataton, dan forum perdana.
Majlis penutup sambutan ini akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 November 2024 di Pulau Pinang.