Starlink bawa keceriaan buat warga UiTM Kuala Pilah

Ridauddin Daud
Ogos 5, 2023 17:12 MYT
Yamin berkata, dalam kes kecemasan, peranti itu juga boleh digunakan terutamanya bagi memastikan pembelajaran terus berjalan meskipun pelajar tidak keluar dari asrama. - Gambar Astro AWANI
KUALA PILAH: Pemasangan peranti Starlink melengkapi perkhidmatan jalur lebar sedia ada di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah sekali gus menawarkan rangkaian lebih stabil dan mencakupi kawasan lebih luas.
Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Prof Dr Yamin Yasin berkata, dalam kes kecemasan, peranti itu juga boleh digunakan terutamanya bagi memastikan pembelajaran terus berjalan meskipun pelajar tidak keluar dari asrama.
“Kecemasan itu kita tak pasti bila akan berlaku tapi ini adalah sebagai satu persediaan untuk kita tambah baik rangkaian yang ada, boleh juga guna bila-bila masa yang bersesuaian.
“Peranti ini boleh diletakan di mana-mana lokasi bersesuaian. Kalau capaian di asrama kurang baik, kita boleh alih peranti itu ke asrama. Saya rasa itu antara kelebihan peranti ini,” katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.
BACA: 40 peranti satelit Starlink tingkat capaian internet IPT - PM Anwar
Perdana Menteri pada 15 Julai lepas mengumumkan akan memasang 40 peranti satelit Starlink di institusi pengajian tinggi (IPT).
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemasangan itu bagi membantu menaik taraf capaian internet lebih baik di kampus.
Tidak sampai dua minggu selepas disuarakan, beliau menyerahkan unit peranti satelit Starlink pertama kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Peranti itu kemudian dibawa ke UiTM kampus Kuala Pilah, Negeri Sembilan, menjadikannya IPT pertama di Malaysia yang akan mengguna pakai teknologi berkenaan.
BACA: UiTM bakal terima 10 peranti satelit Starlink tingkat kualiti internet - Fahmi
Bagi pelajar pula, hanya ungkapan penghargaan dapat dizahirkan kerana dalam dunia serba moden, perkhidmatan internet sangat penting buat mereka.
Apatah lagi dengan capaian yang lebih meluas, sudah tentu ia menghadirkan kelegaan buat mereka.
“Kita tahu lokasi UiTM Kampus Kuala Pilah, kedudukan agak dalam, mungkin capaian internet itu agak tidak stabil.
“Kita harap dengan pemasangan satelit Starlink ini dapat meningkatkan lagi capaian internet itu supaya dapat memudahkan sesi pembelajaran pelajar.
“Tak perlu sampai kena keluar hanya di dalam ini, dapat memudahkan pelajaran mahasiswa,” kata pelajar, Nur Aliya Masyitah Anuwa.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi, Syahmina Dalila Suhairil pula berkata: “Kami amat berbesar hati dengan inisiatif pemasangan Starlink ini.
Starlink bawa keceriaan buat warga UiTM Kuala Pilah
“Saya selaku wakil mahasiswa ini berharap, pemasangan ini dapat meningkatkan lagi capaian internet untuk membantu mahasiswa untuk memudahkan proses pembelajaran dan juga pengajaran di kampus.”
Bagi Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan, beliau lega kerana isu capaian internet yang dibangkitkan beliau dalam Sidang Parlimen mendapat respons daripada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
“Mungkin idea beliau supaya capaian ini yang melibatkan anak-anak kita dapat diberikan kepada orang Kuala Pilah.
“Mungkin juga kepada pelajar bukan berasal dari Kuala Pilah tapi mereka ini, sekurangnya sebagai pelajar, mahasiswa dan mahasiswi dapat kebaikan daripada datangnya Starlink ke UiTM Kuala Pilah,” ujarnya.
#Internet #UiTM #Kuala Pilah #Starlink
;