Starbucks Malaysia jadi inspirasi dunia
Kohilah Sekaran
Oktober 26, 2018 14:30 MYT
Oktober 26, 2018 14:30 MYT
Syarikat gergasi minuman kopi terkenal, Starbucks telah membuka cawangan pertama di Amerika Syarikat (AS) yang mesra untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) pendengaran.
Tidak seperti cawangan lain di AS, Starbucks yang baru dibuka di Washington DC itu mempunyai konsep yang unik - pelanggan mesti menggunakan bahasa isyarat atau arahan bertulis untuk membuat pesanan mereka.
Difahamkan, cawangan tersebut dibuka selepas melihat sambutan hebat yang diterima oleh Starbucks Bangsar - cawangan bahasa isyarat yang pertama dibuka di Malaysia.
Pekerja Amerika telah dihantar ke Malaysia untuk mengkaji dan memahami pendekatan ini sebelum membuka cawangan khas itu di negaranya.
“Starbucks akan mewujudkan pengalaman tersendiri untuk semua pelanggan, sambil menawarkan format kedai unik yang mempromosikan aksesibiliti dan menawarkan peluang pekerjaan serta peluang kerjaya bagi OKU pendengaran," kata kenyataan syarikat itu pada 2017 ketika mengumumkan rancangannya.
Selain itu, cawangan itu turut menawarkan pelbagai cenderamata seperti mural dan mug kopi yang direka oleh pereka OKU pendengaran.
Mereka juga menggunakan tablet di mana pelanggan boleh memilih untuk menulis pesanan mereka, dan skrin yang memaparkan nama pelanggan apabila pesanan mereka sudah siap untuk diambil.
Sebagai tanda penghargaan, beberapa pekerja dari cawangan Bangsar telah dijemput untuk melancarkan kafe tersebut di Washington DC.
Cawangan Bangsar yang dibuka pada 20 Julai 2016 itu didedikasikan untuk meningkatkan kesedaran tentang golongan OKU pendengaran dan meraikan semua jenis pekerja.