STAR minta status darurat dikekalkan
Eleanor Michelle Patrick
Jun 15, 2021 19:47 MYT
Jun 15, 2021 19:47 MYT
KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) meminta agar status darurat dipertahankan buat sementara waktu sehingga keadaan kembali stabil.
Cadangan itu dipersembahkan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara maya, pada Isnin.
“Saya mencadangkan kepada tuanku bahawa status darurat harus dikekalkan buat sementara waktu sehinggalah situasi stabil (COVID-19). Isu-isu lain seperti isu keselamatan dan politik, akan selesai dengan sendirinya.
“Saya juga menekankan pengajaran yang kita semua harus ambil dari Sabah di mana pilihanraya pada September tahun lalu telah memicu gelombang ketiga COVID-19 di Malaysia," katanya menerusi kenyataan media pada Selasa.
Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata situasi pandemik di Malaysia perlu dilihat dari segi perbandingan dengan negara-negara lain, yang mana terdapat lebih 70 negara lain yang mengambil pendekatan serupa bagi memerangi wabak COVID-19.
Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai program vaksinasi di Sabah yang masih terlalu perlahan yang disebabkan infrastruktur kurang baik terutama sistem telekomunikasi.
“Ada keperluan mendesak untuk meningkatkan program kesedaran vaksinasi, dan Kerajaan Sabah melakukan segala yang termampu untuk membantu rakyat, baik secara sosial mahupun ekonomi.
“Pada pendapat saya, pusat vaksinasi harus lebih mudah diakses dan semua klinik kesihatan awam, swasta serta desa perlu mempunyai akses vaksinasi,” katanya.