Standards Malaysia mahu inovasi tempatan bertaraf dunia - Fadilah
Wan Syamsul Amly
Oktober 12, 2017 18:00 MYT
Oktober 12, 2017 18:00 MYT
Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia) mahu memastikan setiap inovasi pereka tempatan seharusnya setanding di peringkat ASEAN dan dunia.
Ketua Pengarahnya, Datuk Fadilah Baharin berkata, ia sekali gus membawa satu tahap yang dapat membanggakan negara dalam kalangan masyarakat.
Jelasnya, penganjuran Ekspo Ekonomi Kreatif dan Inovasi Kebangsaan 2017 (NICE 2017) merupakan platform memastikan hasrat itu menjadi kenyataan.
"Teknologi sains dan inovasi dibawa secara total adalah yang berimpak tinggi dan seperti yang rakyat harapkan.
"Peranan Jabatan Standard sebagai sebuah agensi yang terlibat dalam NICE 2017 adalah membawa standard yang dimahukan semua.
"Kita akan bawa lebih lagi, ia akan jadi antara warga negara yang disegani bukan sahaja di peringkat ASEAN tetapi untuk dunia," katanya semasa ditemui selepas pelancaran NICE 2017 di Taman Teknologi Malaysia (TPM) di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, pihaknya akan memberi penekanan kepada membudayakan kualiti bukan sahaja barangan dan perkhidmatan malah dari aspek minda.
"Masa depan sekarang, kita corakkan masa depan anak-anak melalui sains
"Anak-anak sebenarnya, kalau dilihat sejak satu tahun sudah terdedah dengan tablet dan sebagainya," jelasnya.
Paling penting katanya adalah memastikan standard produk negara sentiasa di tahap antarabangsa.
Sejak dua dekad lalu, Standards Malaysia terus menyumbang terhadap infrasturktur berkualiti dengan membangunkan standard dalam pelbagai sektor.
Jabatan itu juga aktif menyebar penggunaan standard melalui Program Pematuhan Standard menerusi pelbagai usaha menyediakan perkhidmatan akreditasi kepada industri.
Jabatan itu telah memberi akreditasi kepada lebih 650 makmal, 29 badan pensijilan dan 11 badan-badan pemeriksaan di seluruh negara.
Peranan Standards Malaysia juga diberi perhatian khusus oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11.
Standards Malaysia menerajui Komponen Standard Inisiatif Pembaharuan Strategik - Standard Persaingan Liberalisasi (SRI-CSL) di bawah Program Transformasi Ekonomi.