Standard Pertukaran Bateri akan diperkenalkan menjelang akhir tahun - MARii

Irfan Faruqi
November 6, 2024 18:11 MYT
Azrul Reza dalam program Agenda AWANI berkata standard pertukaran bateri melibatkan kenderaan elektrik (EV) dua roda bagi memastikan akses kepada kenderaan EV lebih luas. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Standard Pertukaran Bateri atau Battery Swapping Standard dijangka akan dikongsi bersama pemegang taruh berkepentingan pada akhir tahun ini.

Ringkasan AI
  • Standard Pertukaran Bateri: Malaysia Automotive, Robotics and Internet of Things Institute (MARii) akan memperkenalkan Standard Pertukaran Bateri untuk kenderaan elektrik (EV) dua roda menjelang akhir tahun ini untuk memastikan akses yang lebih luas kepada kenderaan EV.
  • Pusat Kecemerlangan: MARii sedang membangunkan Pusat Kecemerlangan untuk Industri Masa Depan (CoEFI) yang akan menyediakan fasiliti penting dan teknologi pengujian untuk Kenderaan Generasi Baru (NxGV) termasuk EV, selaras dengan Dasar Automotif Nasional (NAP2020).
  • Acara E-Mobility Asia (EMA): EMA kali ke-2 akan diadakan dari 12 hingga 14 November 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dengan lebih 150 pempamer dan dijangka menarik lebih 12,000 pengunjung untuk mempromosikan penyelesaian elektromobiliti yang mesra alam dan mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Automotive, Robotics and Internet of Things Institute (MARii), Azrul Reza Aziz berkata, standard ini melibatkan kenderaan elektrik (EV) dua roda bagi memastikan akses kepada kenderaan EV lebih luas.
“Kita bekerjasama dengan Jabatan Standard Malaysia untuk menghasilkan beberapa standard. Sebagai contoh, menjelang akhir tahun ini kita sasarkan untuk mendapatkan pandangan awam berkaitan Standard Pertukaran Bateri untuk kenderaan dua roda.
“Ini kerana jika terlalu banyak pemain industri kenderaan dua roda yang menggunakan teknologi dan spesifikasi sendiri, ia akan menyukarkan pemilik kenderaan untuk bertukar daripada satu platform ke platform yang lain.
“Kita mahu pastikan semua platform adalah sama dari segi teknikal dan garis panduan supaya kenderaan ini boleh diakses oleh semua pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Standard Pertukaran Bateri akan diperkenalkan menjelang akhir tahun - MARii
Tambah Azrul Reza, dari segi pembangunan fizikal, sebuah pusat kecemerlangan sedang dibangunkan oleh MARii untuk memacu pertumbuhan dalam industri EV negara selaras dengan aspirasi di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP2020).
Menurutnya, pusat kecemerlangan ini akan menyediakan fasiliti penting dan teknologi pengujian Kenderaan Generasi Baru (NxGV) termasuk EV yang unik serta belum tersedia secara meluas di rantau Asia Tenggara.
"Dalam konteks pembangunan fizikal kita mahu bina infrastruktur dalam bentuk Pusat Kecemerlangan untuk Industri Masa Depan (Centre of Excellence for Future Industry; CoEFI).
“Matlamat CoEFI ialah menjadi platform kepada industri untuk beralih daripada enjin pembakaran dalam (internal combustion engine; ICE) kepada kenderaan elektrik (EV).
“Di pusat kecemerlangan ini kita perlu ada litar pengesahan (proving ground) dan makmal ujian (test bed). Ketika ini fasiliti seumpama ini belum ada di Malaysia. Di Asia Tenggara, Thailand baru sahaja membina fasiliti tersebut, walau bagaimanapun fasiliti tersebut tidak merangkumi kenderaan autonomi seperti CoEFI” jelasnya.
Demi memangkin industri EV ke peringkat lebih tinggi, Azrul Reza berkongsi usaha MARii untuk menawarkan gambaran menyeluruh mengenai teknologi EV sambil menyumbang kepada kemajuan sektor elektromobiliti melalui acara E-Mobility Asia (EMA).
EMA kali ke-2 ini merupakan platform utama yang didedikasikan untuk mempromosikan penyelesaian elektromobiliti yang mesra alam dan mampan, dengan fokus khusus pada Kenderaan Elektrik (EV) terkini.
Sepanjang acara yang akan bermula pada 12 hingga 14 November 2024, ini sekitar 150 pempamer akan mempersembahkan pelbagai produk dan penyelesaian berkaitan EV.
Bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, EMA dijangka menarik lebih 12,000 pengunjung yang mahu memahami dinamika industri EV dan pelbagai peluang yang ada.
Acara E-Mobility Asia (EMA) ke-2 akan berlangsung dari 12 hingga 14 November 2024.
Maklumat lanjut boleh didapati melalui https://emobilityasia.com/
Agenda AWANI: E-Mobility Asia 2024: Building the future of green mobility in ASEAN
#EV #MARII #kenderaan elektrik #Standard Pertukaran Bateri #Azrul Reza Aziz
;