Standard keselamatan perlu datang dari pengusaha, pemandu bas - FOMCA
Astro Awani
April 23, 2014 20:38 MYT
April 23, 2014 20:38 MYT
Kebolehan pemandu dan rekabentuk bas perlu ada standard sendiri.
Penguatkuasaan juga perlu diperketatkan agar nahas jalan raya melibatkan bas tidak lagi berlaku, kata Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Datuk Paul Selvaraj.
"Kita mahu menggalakkan orang ramai menaiki pengangkutan awam seperti bas, tetapi pengguna tidak rasa selamat. Bagaimana kita hendak meyakinkan pengguna?
"Pengenalan kepada beberapa pengangkutan awam lain adalah bagus seperti MRT, LRT dan sebagainya. Tetapi bagi perjalanan destinasi jauh, pengguna masih menggunakan bas. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan pengguna rasa selamat setiap kali mereka menaiki bas," kata Selvaraj ketika dihubungi Astro AWANI.
Menurut beliau, pemasangan kotak hitam seperti yang diperkatakan sebelum ini perlu dilakukan segera memandangkan insiden kemalangan melibatkan bas ekspres semakin meningkat hingga ke tahap yang membimbangkan.
"Jika penguatkuasaan yang memerlukan kos yang lebih, sudah pasti pengusaha bas akan mengelak. Tetapi ia penting bagi menjamin keselamatan pengguna," jelasnya.
Selvaraj menambah, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu beri penjelasan mengenai hala tuju, polisi serta peraturan kepada pengusaha bas selain penguatkuasaan yang perlu diperketatkan lagi.
Selain itu Selvaraj turut menyentuh isu pemandu bas yang memandu di bawah pengaruh dadah dan beliau menegaskan pihak berkuasa perlu memandang serius isu ini kerana ia melibatkan nyawa pengguna.
Ketika ditanya mengenai sikap pengguna yang dikatakan turut menyumbang kepada nahas jalan raya, Selvaraj berkata perkara ini boleh dielakkan.
"Jika pengusaha dan pemandu bas mempunyai standard sendiri, perkara ini tidak akan berlaku. Jika pengguna menyuruh pemandu untuk memandu dengan laju sekalipun, tetapi jika pemandu tersebut mempunyai standard sendiri dan mengikuti peraturan yang ditetapkan, perkara seumpama ini tidak akan berlaku," tegasnya.