Stadium Sultan Muhammad IV berwajah baharu
Sinar Harian
Julai 6, 2022 12:20 MYT
Julai 6, 2022 12:20 MYT
KOTA BHARU: Stadium Sultan Muhammad IV di sini berwajah baharu setelah kerja-kerja menaik taraf stadium tersebut dilaksanakan dengan menelan belanja RM5.5 juta.
Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, proses naik taraf yang bermula September tahun lalu itu dijangka siap sepenuhnya pada 24 Ogos ini.
“Kerja-kerja naik taraf stadium tersebut merangkumi pemasangan lampu limpah baharu yang mematuhi standard Malaysian Football League (MFL).
“Selainnya, baik pulih bilik persalinan pemain dan tandas awam untuk penonton serta pemasangan blok laluan di pintu masuk astaka stadium,” katanya dalam kenyataan di Facebook Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri (UPKN) di sini pada Rabu.
Beliau berkata, kos bagi penukaran empat unit lampu limpah sahaja mencecah RM3.4 juta perlu ditukar segera kerana usianya hampir setengah abad.
Menurutnya, selain peruntukan RM5 juta yang disalurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan RM400,000 peruntukan di bawah Program Strategik Pemerkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) tahun 2021, kerajaan negeri melalui portfolionya meluluskan RM100,000 lagi untuk menyempurnakan kerja-kerja naik taraf tempat duduk di astaka.
“Tempat duduk penonton di astaka dinaik taraf supaya dapat menampung 1,600 penonton berbanding 1,200 penonton sahaja sebelum ini,” katanya. -Sinar Harian