Stadium Shah Alam dijadikan tempat pesakit COVID-19 berita palsu - Polis
Fareez Azman
Disember 25, 2020 00:18 MYT
Disember 25, 2020 00:18 MYT
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan sebuah klip video tular yang mendakwa Stadium Shah Alam dijadikan tempat pesakit COVID-19 adalah berita palsu dan tidak benar.
Perkara itu dimaklumkan Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dalam satu kenyataan pada Jumaat.
“Pihak polis Kontinjen Selangor mengesahkan bahawa berita yang disebarkan melalui klip video tersebut adalah berita palsu dan tidak benar sama sekali.
“Masyarakat diminta bertenang dan diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk berita palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Tambah Arjunaidi, orang ramai juga diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang berita yang diperolehi dari sumber tidak sahih.
“Perbuatan sebegini boleh mencetuskan suasana panik, tidak harmoni serta boleh menggugat ketenteraman awam,” tegas beliau lagi.
Klip video berdurasi 32 saat itu tular di media sosial memaparkan sekumpulan orang awam ditempatkan di dalam sebuah stadium tertutup yang dijadikan tempat pesakit COVID-19.
Ia kononnya dikatakan berpunca dari kesesakan di Hospital Sungai Buloh yang tidak mampu menampung pesakit COVID-19.
Video itu turut menunjukkan terdapat pagar kawat digunakan disepanjang stadium itu.
#video tular
#stadium shah alam
#pesakit COVID-19
#COVID-19
#palsu
#tidak benar
#Polis Selangor
#arjunaidi mohamed
#Hospital Sungai Buloh