Stadium Perpaduan, Kuching jadi klinik respiratori tampan COVID-19

Astro Awani
Mac 24, 2020 16:44 MYT
Stadium Perpaduan akan berubah wajah tatkala pusat pemeriksaan kesihatan itu dibuka, namun ia hanya dihadkan kepada pesakit yang demam, batuk dan mengalami kesukaran bernafas. - Gambar fail
Buat pertama kali, stadium di Malaysia akan dijadikan klinik respiratori bagi menampan wabak COVID-19 dari menular di Negeri Bumi Kenyalang itu.
Stadium Perpaduan akan berubah wajah tatkala pusat pemeriksaan kesihatan itu dibuka, namun ia hanya dihadkan kepada pesakit yang demam, batuk dan mengalami kesukaran bernafas.
Menurut Pengerusi Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pewujudan ini dapat mengurangkan risiko buat petugas barisan hadapan selain memastikan rawatan yang diberikan lebih tertumpu kepada mereka yang benar-benar disahkan positif COVID-19.
“Klinik respiratori ini dibuka bagi sesiapa yang berdekatan dan mereka yang disyaki menghidap COVID-19.
“Ini termasuk mereka yang ada tanda-tanda demam, batuk dan masalah pernafasan namun tidak pernah ada kontak dengan mereka yang positif mereka yang dilabelkan sebagai Person Under Investigation (PUI),” katanya.
Klinik berkenaan diwujudkan juga bagi mengurangkan risiko jangkitan serta kesesakan di klinik biasa dan hospital.
Perkhidmatan klinik ini adalah percuma ia dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali hujung minggu dan cuti umum.
Sementara itu, Menetri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata kerajaan negeri kini mempertimbangkan untuk wujudkan lebih banyak klinik respiratori di bandar-bandar utama.
“Kami mulakan dengan yang pertama dahulu dan jika ada keperluan baru kami akan wujudkan di Sibu dan Miri.
Dr Sim berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Stadium Perpaduan di Kuching pada Selasa.
“Dengan kemudahan ini, semua yang mengalami simptom boleh datang ke sini dan bukan ke hospital atau pengamal swasta, jika tidak semua (pengamal swasta) akan memerlukan perlindungan PPE (Peralatan Perlindungan Peribadi," tambahnya.
#COVID-19 #Datuk Amar Douglas Uggah Embas #Datuk Dr Sim Kim Hian #Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak #Klinik Respiratori #Sarawak
;