Stadium bakal dibuka semula - Faizal Azumu

Raja Hisyam Raja Zaid
September 21, 2021 18:30 MYT
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada sidang media selepas Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 (SOP) di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Peminat bola sepak negara mungkin boleh menarik nafas lega apabila kerajaan membayangkan untuk membenarkan pembukaan semula stadium sedikit masa lagi selepas ditutup susulan pandemik COVID-19.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Faizal Azumu berkata kerajaan bersama Majlis keselamatan Negara (MKN) ketika ini sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian bagi menjamin keselamatan penyokong yang hadir selepas ia dibenarkan dibuka nanti.
"Kita sedang memperhalusi untuk kemungkinan membuka kembali stadium, supaya kita dapat meraikan kemeriahan Piala Malaysia.
"Perkara ini kalau kita dapat lakukan sekali lagi dengan SOP yang ketat. Peminat bola sepak nanti jika ia dibuka, sila patuh SOP," katanya pada sidang media bersama Menteri Kanan Pertahanan dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri selepas hadir pada Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 (SOP) di bangunan Parlimen petang tadi.
Jelasnya lagi, mesyuarat hari ini juga telah membuat keputusan untuk membenarkan pembukaan gimnasium dan sukan tertutup selepas hampir enam bulan tidak beroperasi.
“Hari ini operator-operator sukan tertutup (indoor sport) gimnasium dan para pengguna sangat mengalu-alukan dan gembira yang telah kerajaan buat,” jelasnya.
Bagaimanapun tegas beliau, keputusan itu tetap tertakluk kepada syarat dan pematuhan SOP yang ketat seperti yang telah ditetapkan memandangkan ia mempunyai risiko jangkitan COVID-19 yang agak tinggi.
#Faizal Azumu #bola sepak negara #Menteri Belia dan Sukan #SOP
;