SST beri kesan fiskal lebih cepat, GST tak akan dilaksanakan lagi - MoF

Hasimi Muhamad
Julai 18, 2024 04:16 MYT
Hui Ying juga berkata bagi tahun 2023, kutipan cukai menyumbang sekitar RM229 bilion atau 72.8 peratus daripada hasil kerajaan sebanyak RM315 bilion - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan memaklumkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan ketika ini mampu memberikan kesan fiskal yang lebih cepat berbanding pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Sehubungan itu, Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata kerajaan masih belum berhasrat untuk melaksanakan semula GST dan ia akan dipertimbangkan apabila terdapat persekitaran ekonomi yang bersesuaian terutama mengambil kira aspek kesan inflasi daripada rasionalisasi subsidi.
"Kerajaan akan terus mengutamakan untuk menambah baik sistem cukai sedia ada dan memperkenalkan percukaian yang tidak memberi kesan kepada golongan rentan sebelum menilai keperluan untuk memperkenalkan cukai kepenggunaan baharu seperti GST.
"Justeru, sebarang perubahan dasar kepada sistem percukaian berasaskan kepenggunaan seperti melaksanakan semula GST akan diteliti untuk memastikan ia bersifat progresif, mudah ditadbir, tidak memberi impak negatif kepada kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi serta pada masa yang sama dapat menjana hasil yang memapan kepada kerajaan," katanya pada sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab pertanyaan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang mahu tahu adakah kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan semula GST, iaitu sistem cukai yang disifatkan lebih baik berbanding SST.
Kamal turut bertanyakan apakah usaha kerajaan dalam mempertingkatkan hasil, selain melalui pungutan cukai dan pelaksanaan subsidi bersasar.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata bagi tahun 2023, kutipan cukai menyumbang sekitar RM229 bilion atau 72.8 peratus daripada hasil kerajaan sebanyak RM315 bilion.
Katanya lagi, pemberian subsidi, insentif dan bantuan kerajaan pula adalah sekitar RM80 bilion atau 19.7 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM406 bilion.
"Ini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua komponen ini mempunyai hubung kait yang signifikan dengan kedudukan fiskal negara.
"Oleh yang demikian, adalah wajar perubahan dasar fiskal Malaysia memberi tumpuan kepada kedua-dua ini terlebih dahulu bagi mengambil peluang akan kedudukan fiskal negara yang stabil pada masa ini," ujarnya.
Kementerian Kewangan pada 10 Julai lalu dilaporkan berkata, selepas GST diperkenalkan pada April 2015, kutipan GST adalah sebanyak RM37.7 billion bagi tahun 2015; RM55.7 bilion (2016); RM60.5 bilion (2017); dan RM30.9 bilion (2018), iaitu sehingga Mei 2018 sahaja.
Selain itu, selepas SST dilaksanakan semula, kutipan SST adalah sebanyak RM5.4 bilion bagi tahun 2018, iaitu dari September 2018 hingga Disember 2018; RM27.6 bilion (2019), RM25.2 bilion (2020); RM25.5 bilion (2021); RM31.3 bilion (2022); dan RM35.4 bilion (2023).
#GST dimansuhkan #Pelaksanaan semula SST #Dewan Rakyat #Lim Hui Ying