SSPA terbaik pernah diperkenalkan kerajaan - PM Anwar

Firdaus Azil
April 25, 2024 17:21 MYT
ANWAR: Kalau kita nak angkat martabat negara, nak lebih efisien nak nilai prestasi, tak boleh anggap orang itu wajar diiktiraf (semata-mata) kerana umur atau sudah lama dalam perkhidmatan. -Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal diumumkan dalam tempoh terdekat, sebagai antara yang terbaik pernah diperkenalkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, katanya lagi, langkah itu bakal membabitkan implikasi kewangan yang tertinggi berbanding yang pernah dilakukan sebelum ini.
Atas sebab itu Perdana Menteri berkata, beliau berharap dengan langkah tersebut, penjawat awam yang bakal menikmati sistem tersebut, digesa untuk mempertingkatkan prestasi dan melaksanakan tugas dengan lebih efisien supaya selari dengan perubahan zaman.
“Ini bukan masalah saudara saudari untuk cari dana lebih, saya akan berunding dengan Menteri Kewangan (beliau sendiri).
"Mengapa saya pilih sebut hal ini, kerana saya tak anggap ini perkara ringan atau enteng.
“Dalam mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, saya tidak mahu ada satu jabatan atau satu kelompok yang rasa tertinggal atau tersisih. Kita nak ambil tindakan persaraan ini yang menyeluruh.
“Kita juga harapkan prestasi (perkhidmatan awam) lebih baik, kerja lebih serius. Dan ketua-ketua jabatan kena pantau betul-betul.
"Kerana dalam kelompok besar, ada yang malas dan lemah. Saya tak fikir orang yang malas dan lemah dalam penjawat awam harus dinaikkan pangkat sebagai satu perkara biasa,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Perkhidmatan Pegawai tadbir dan Diplomatik (PPTD) bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di
sini pada Khamis.
Sebelum ini Perdana Menteri berkata, beliau akan mengumumkan langkah penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam di bawah kajian SSPA pada 1 Mei ini, sempena Perhimpunan Hari Pekerja.
Beliau berkata, usaha tersebut diharap dapat menjadi motivasi buat penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti, dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Dalam pada itu Anwar berkata, beliau tegas berpendirian mana-mana penjawat awam yang tidak efisien, untuk tidak diberikan ganjaran yang sewajarnya.
“Kalau teruk, lembab dan malas, saya tak fikir kita berikan pengiktirafan. Mungkin ini dianggap kurang popular, jadi saya minta KPPA dan jentera bincang dengan semua, mantan PPTA atau PPTD.
“Kalau kita nak angkat martabat negara, nak lebih efisien nak nilai prestasi, tak boleh anggap orang itu wajar diiktiraf (semata-mata) kerana umur atau sudah lama dalam perkhidmatan.
“Walaupun berlaku, saya nak lebih tegas dan keras, sesuai dengan taraf pengiktirafan kita.
"Setakat ini saya teliti, saya tegaskan semula kajian ini dan sistem persaraan ini punya implikasi dan risiko
kewangan, tapi pengiktirafan terbaik dalam negara kita,” katanya lagi.
#Anwar Ibrahim #Sistem Saraan Perkhidmatan Awam #SSPA #penjawat awam
;