SSNS SMK Za'ba 'kilang' lahir pelajar serba boleh

Khairunnisa Kasnoon, Shuhada Abdul Kadir
Ogos 12, 2018 13:46 MYT
Roslin berkata, antara intervensi yang sedang direncana sekolah tersebut ialah dengan melahirkan atlet-atlet paralimpik. Astro AWANI / SHUHADA KADIR
“It takes a village to raise a champion”
Moto yang membawa mesej 'bagi melahirkan seorang juara, kerjasama dari seisi kampung diperlukan' ini digenggam Sekolah Sukan Negeri Sembilan (SSNS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za'ba.
Sekolah yang terletak di Kuala Pilah ini, ditubuhkan pada 1962, pada asalnya menempatkan murid yang gagal dalam peperiksaan Darjah 6, bagi memberi peluang kepada mereka yang tercicir untuk mendapat kemahiran asas seperti vokasional, pertukangan dan kerja tangan.
Bagaimanapun, kini sekolah yang mengambil nama sempena Pendita Za'ba telah berupaya melahirkan pelajar yang bukan sahaja hebat di pentas sukan, dan akademik, malah turut menyerlah dalam bidang ko-kurikulum.
Berkongsi pengalaman kejayaan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa apabila skuad boleh sepak Bawah 14 tahun (B-14) berjaya meraih tempat ketiga Kejohanan Bola Sepak Piala Gothia di Sweden, tahun lalu, pengetua Roslin Balia berkata, kejayaan sehebat itu tidak akan mampu tercetus tanpa kerjasama jitu tenaga pengajar, ibu bapa mahupun petugas-petugas di sekolah tersebut.
Ini berikutan, lebih 90 peratus pelajar sekolah yang mula diiktiraf sebagai sekolah sukan negeri pada tahun 2008 itu menetap di asrama dan menghabiskan masa mereka dengan pelbagai aktiviti di sekolah berkenaan.
Ujarnya, selain bola sepak, sekolah yang ketika ini mempunyai 362 pelajar dan 48 tenaga pengajar itu menawarkan lima lagi sukan selain bola sepak, iaitu hoki, sepak takraw, memanah, olahraga dan bola jaring.
Menerusi kesemua sukan itu, pelbagai kejayaan telah berjaya dilakar baik di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.
Lebih unik, berbeza dengan sekolah-sekolah sukan negeri yang lain, para atlet SMK Za'ba turut aktif dalam beberapa bidang kokurikulum termasuk muzik dan seni persembahan teater.
Ini dibuktikan apabila pasukan teater SMK Za'ba yang mula aktif sejak 2015 berjaya menjadi johan pada Festival Teater Kebangsaan 2017 Piala Kementerian Pendidikan Malaysia, menewaskan beberapa sekolah termasuk sekolah-sekolah seni.
Jelas Roslin, meskipun fokus utama sesebuah sekolah sukan adalah untuk melahirkan atlet yang berwibawa, namun pendekatan di SMK Za'ba sedikit berbeza.
Katanya, beliau percaya dengan konsep ‘thinking players’ dan ‘multi-tasking players’ yang membolehkan atlet-atlet yang lahir dari sekolah tersebut menguasai semua bidang.
"Hari ini, fokus anak-anak ini ialah sukan, tetapi saya gunakan kemahiran sampingan kita, buatkan teater. Anak-anak ini, dari segi kemahiran komunikasi, keyakinan diri mereka amat tinggi.
"Saya boleh buktikan seorang. Dia pemain bola sepak, pelajar Tingkatan Dua, dan dia juga pengarah kepada teater kami. Dia mungkin tak sehebat pengarah luar, tetapi dia boleh mengarahkan teater! Bagi saya, itu adalah kemahiran yang amat berguna pada dia.
"Dia boleh ada keyakinan diri. Saya bukan nak suruh dia berkerjaya sebagai pengarah teater, tetapi kita nak memupuk kemahiran dia. Kemahiran bercakap, berfikir... kita nak menggilap kemahirannya itu untuk dia jadi manusia.
"Kalau dia jadi ahli sukan, dia akan jadi ahli sukan yg hebat, yang boleh berfikir, boleh bercakap, boleh menyelesaikan masalah, dan sebagainya," kata pengetua yang jelas mempunyai semangat dan misinya tersendiri.
Dalam pada itu, Roslin berkata, SNSS SMK Za'ba mengambil pendekatan melakukan intervensinya sendiri, antara lain, dengan melahirkan atlet paralimpik.
Katanya, setakat ini sekolah itu mempunyai tiga pelajar orang kelainan upaya (OKU) dan seorang tenaga pengajar yang aktif dalam sukan olahraga.
Tiga pelajar tersebut ditempatkan di kelas aliran perdana dan pihaknya meletakkan sasaran seramai 10 orang atlet paralimpik akan dilatih di sekolah itu menjelang 2019.
"Kita juga akan buka Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sukan, paralimpik bagi murid yang berkeperluan khas. Kami dalam proses mengumpulkan 10 orang dulu.
"Kelasnya sudah ada. Muridnya setakat ini baru ada tiga orang. Kita akan tunggu lagi lebih ramai murid. Kita akan latih anak-anak berkeperluan khas ini.
"Anak-anak ini boleh juga ke arus perdana. Kalau kita latih dia, kejayaannya nanti adalah milik Negeri Sembilan. Negeri Sembilan yang akan mendapat manfaat."
Mengulas kejayaan yang diraih sekolah yang terletak kira-kira 300 meter dari pekan Kuala Pilah itu, Roslin mengakui, kerjasama erat pasukan pendidik dan kakitangan sekolah merupakan kunci utama.
Ujarnya, apa yang diharapkan ialah, selain bersukan dan cemerlang akademik, pelajar-pelajar berkebolehan dalam setiap bidang.
Ini secara tidak langsung menjamin keboleh pasaran diri mereka apabila tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.
#kemahiran #Kuala Pilah #muzik #Paralimpik #Roslin Balia #sekolah sukan #SMK Za'ba #sukan #teater
;