SSM rangka pindaan undang-undang, bantu syarikat terbeban akibat COVID-19
Firdaus Azil
Julai 28, 2022 11:45 MYT
Julai 28, 2022 11:45 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam proses menyediakan Rang Undang-Undang (Pindaan) 2022, khusus bagi membantu syarikat yang terbeban dengan masalah kewangan akibat impak ekonomi COVID-19.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, RUU itu mencerminkan komitmen SSM untuk memperkasa dan menambah baik kerangka perundangan sedia ada berkaitan rehabilitasi korporat
“RUU ini juga membolehkan syarikat yang menghadapi masalah kewangan terutama sekali akibat dari kesan pandemik COVID-19, tetapi mempunyai kemampuan untuk terus berdaya saing memasuki rehabilitasi dengan pemiutang melalui cadangan pindaan yang bersifat fasilitatif,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu sewaktu menjawab soalan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Huat di Dewan Rakyat pada Khamis.
Lawson Huat juga ingin mengetahui pendekatan SSM mengenai pelaporan pemunya benefisia seperti yang dilaksanakan beberapa negara luar.
Mengulas mengenai perkara itu, Nanta berkata, SSM juga sedang melaksanakan RUU Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2022 (RUU PLT).
"Pindaan yang dicadangkan antaranya bagi tujuan memperkenalkan keseluruhan kerangka mekanisme penyelamat korporat di dalam Akta Syarikat 2016 serta pindaan-pindaan yang berkaitan untuk turut terpakai ke atas entiti Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT).
"Tanpa kerangka perundangan yang komprehensif, entiti perniagaan seperti syarikat dan PLT akan menghadapi risiko tindakan penggulungan sekiranya mereka berdepan dengan masalah kewangan walaupun perniagaan tersebut hakikatnya masih berdaya maju,” katanya lagi.
Dengan adanya peruntukan ini, Nanta berkata, mana-mana entiti PLT yang menghadapi masalah kewangan, tetapi masih berkemampuan serta berdaya saing, boleh memanfaatkan mekanisme penyelamat korporat dengan memasuki pelan rehabilitasi dengan pemiutang mereka.
Nanta berkata, inisiatif itu penting bagi membantu entiti PLT yang menghadapi masalah kewangan, terutama sekali akibat dari kesan pandemik COVID-19 agar kekal beroperasi dan menjana ekonomi negara.