Srikandi buka peluang dapat kerja sempena Hari Malaysia

Astro Awani
September 14, 2020 19:15 MYT
Azlinda berkata, program itu adalah antara pengisian Program Jom Semarakkan Srikandi Untuk Malaysia Prihatin anjuran mereka. - Gambar Bersatu Johor Bahru
Orang ramai berpeluang untuk mengisi kekosongan pekerjaan melalui sesi temuduga terbuka yang akan diadakan bersempena Hari Malaysia pada 16 September ini.
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru, Azlinda Abdul Latif berkata, program itu adalah antara pengisian Program Jom Semarakkan Srikandi Untuk Malaysia Prihatin anjuran mereka.
"Bermula dari jam 8 pagi, kami adakan pasar pagi dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA) dan ini membuka peluang orang ramai untuk berbelanja sambil berjimat.
"Sesi khidmat nasihat bagi usahawan juga akan berlangsung dari jam 9 pagi melibatkan Bank Simpanan Nasional (BSN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Tekun Nasional dan Majlis Bandaraya Johor Bahru," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
Jelasnya, program itu diadakan di Pusat Kesihatan Komuniti Azlinda yang terletak di Balai Raya Taman Suria, Johor Bahru.
Antara syarikat korporat yang bakal mengadakan temuduga terbuka bermula pada pukul 10 pagi itu adalah
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), AEON dan syarikat e-hailing, Best Ride.
Azlinda yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usahawan berpeluang mendapatkan khidmat nasihat mengenai pembiayaan perniagaan, pendaftaran perniagaan serta mendapatkan lesen perniagaan.
"Penganjur akan turut menyampaikan biasiswa berjumlah RM168,000 bagi 30 pelajar mendalami pendidikan Perubatan Senaman yang disalurkan oleh sebuah institusi terkemuka, MS New Symphony Exercise Clinic melalui satu sesi pada jam 3 petang.
"Orang ramai juga dipelawa untuk menghadiri sesi khidmat nasihat kekeluargaan yang bakal disampaikan oleh Pakar Fisiologi dan Pemakanan Sihat, Dr Adibah Alawiyah dan Pakar Kekeluargaan dari Kemajuan Masyarakat (Kemas), Rohana Mustafa.
"Kami juga akan menyampaikan pelbagai bantuan khusus untuk golongan memerlukan pada sebelah tengahari selain sesi pendidikan yang dikendalikan oleh pakar akademik dan pakar bidang kemahiran," katanya.
Menurutnya, penganjuran program sekali gus dapat membuka peluang pekerjaan penduduk setempat selain ruang penyenaraian produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti barang makanan dan jahitan dihasilkan golongan B40.
Selain itu, ia juga bagi memperkenalkan kepada orang awam tentang Pusat Kesihatan Komuniti berkenaan yang menyediakan khidmat percuma melibatkan sesi perundingan dan senaman dengan peralatan gimnasium kepada golongan masyarakat yang mengalami empat penyakit iaitu darah tinggi, diabetes, jantung dan obesiti.
Beliau berkata, program akan berlangsung dalam suasana normal baharu untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan wabak COVID-19.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi wakil penganjur di talian 017-7222945 atau 012-7072982.
#Bersatu #Hari Malaysia #kekosongan pekerjaan #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #pendidikan #PPBM #sesi temuduga terbuka #SOP
;