SPRM tubuh unit khas ACTS bagi keperluan laksana operasi mencabar, kes berprofil tinggi

Sinar Harian
Mac 13, 2024 18:30 MYT
Anggota ACTS SPRM mempamerkan kemahiran taktikal dalam simulasi latihan.
KUALA LUMPUR: Operasi membanteras rasuah berprofil tinggi dan berisiko memerlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan sebuah unit khas.
Walaupun SPRM mempunyai bidang kuasa untuk membawa senjata api semasa bertugas, namun dalam keadaan tertentu anggotanya perlu melakukan operasi dengan penuh kerahsiaan.
Sehubungan itu, penubuhan Pasukan Taktikal SPRM atau Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) dilihat relevan dengan kehendak semasa agensi tersebut.
ACTS ditubuhkan pada 5 Oktober 2023 yang mana keanggotaannya dilakukan secara selektif.
SPRM membuat keputusan menubuhkan skuad khas ini selepas melihat kepada keperluan mendesak berdasarkan beberapa insiden ancaman yang berlaku.
Penubuhan unit khas ACTS SPRM juga mencatat sejarah tersendiri sejak penubuhan agensi itu yang sebelumnya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah pada 1 Oktober 1967.
Sesuai dengan peranannya, anggota dan pegawai yang terpilih menyertai ACTS diberikan latihan ekstensif untuk beroperasi sebagai sebuah pasukan elit.
Sebenarnya bukan sesuatu yang asing bagi agensi keselamatan di negara ini selain polis dan tentera mempunyai pasukan khas kerana ada keperluan selain penugasan yang berbeza.
Misalnya Jabatan Imigresen Malaysia mempunyai Pasukan Khas Taktikal (PASTAK) manakala Jabatan Kastam Diraja Malaysia (COBRA - Customs Operational Battle Force Response Assault).
SPRM juga tidak terkecuali yang mana operasi berprofil tinggi memerlukan pegawai dan anggota yang sentiasa cergas dan mempunyai daya ketahanan tinggi untuk menangani sebarang ancaman dan risiko.
Baru-baru ini seramai 18 pegawai dan anggota ACTS telah menjalani latihan Advance Special Operations Training (ASOT).
Kursus ini dirangka secara spesifik agar anggota-anggota ACTS terlatih bukan sahaja dalam pengendalian senjata api tetapi juga kemahiran taktikal di lapangan.
Objektifnya adalah memberi perlindungan keselamatan kepada tugasan operasi SPRM.
Kursus ASOT ini telah dilaksanakan selama 14 hari dengan latihan bermula di lapang sasar PDRM, Kampar dan berakhir di Kompleks Latihan Tempur Jarak Dekat (CQB) 69 Komando PDRM, Ulu Kinta, Perak.
Pasukan ACTS SPRM turut mempelajari kemahiran ‘Close Quarter Combat’ atau tempur jarak dekat dalam menyelamatkan mangsa daripada penjenayah.
Latihan sebegini penting untuk memastikan ACTS SPRM sentiasa siap siaga dan meningkatkan kemahiran serta kecekapan dari semasa ke semasa.
Mereka yang menamatkan latihan ini telah dianugerahkan beret ditauliah dan penerimaan pisau keramat serta tampalan bendera Malaysia dan lencana ACTS.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebagai tanda menamatkan kursus ini dengan cemerlang.
Apa yang menarik, kursus ASOT bukan dikendalikan oleh pasukan keselamatan lain sebaliknya menerusi kemahiran pegawai SPRM sendiri serta dibantu jurulatih taktikal bertauliah.
Justeru, latihan ASOT kepada ACTS SPRM oleh agensi tersebut adalah mengikut kehendak dan keperluan operasi SPRM. - Dagang News
#SPRM #ACTS #Pasukan Taktikal SPRM #kes profil tinggi
;