SPRM tidak selektif ketika menjalani siasatan - JKMR

Astro Awani
Julai 2, 2015 11:59 MYT
JKMR juga memberi jaminan SPRM akan terus menjalankan siasatannya dengan bebas dan telus.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tidak timbul soal menerima arahan daripada kerajaan atau 'pihak atasan' dalam menjalankan siasatan dan bersikap selektif ketika menyiasat kes berprofil tinggi.
Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dalam satu kenyataan memaklumkan, SPRM sudah memperlihatkan keberkesanan dari beberapa segi selepas pembentukannya pada 2009 berbanding ketika era Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang, berkata SPRM mengambil tindakan ke atas setiap maklumat dan aduan diterima, dan menyiasat setiap maklumat yang mempunyai unsur rasuah di bawah Akta SPRM 2009.
JKMR juga memberi jaminan SPRM akan terus menjalankan siasatannya dengan bebas dan telus.
Jelas Tan Sri Abu Zahar, tindakan pihak tertentu yang membuat perbandingan "ikan kecil dan jerung" bagi menggambarkan kononnya SPRM tidak cekap dan tidak telus adalah tidak wajar.
Segala persepsi yang negatif dengan membuat kenyataan dan fitnah melulu tanpa asas, tidak akan dilayan JKMR dan SPRM.
JKMR sedang merancang untuk mengadakan satu pertemuan bersama ahli parlimen bagi mencari jalan terbaik mengukuhkan lagi institusi agensi pencegahan rasuah di Malaysia.
Semua pihak katanya harus faham kerja SPRM yang tidak mendedahkan prosedurnya kepada umum demi menjaga kerahsiaan kerja siasatan.
#Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia