SPRM tidak berhasrat tahan Tun M

Sinar Harian
Mei 7, 2024 14:10 MYT
SPRM sebelum ini mendedahkan Dr Mahathir antara individu berprofil tinggi yang disiasat oleh pihaknya berhubung pengisytiharan harta. - Gambar fail/ Sinar Harian
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berhasrat untuk menahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu pengisytiharan harta.
Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki berkata, ia kerana siasatan terhadap negarawan itu masih berjalan.
"Itu tidak lagi. Kita tidak berhasrat untuk tahan beliau," katanya ketika ditemui pemberita selepas Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di sini pada Selasa.
Sebelum ini Azam mendedahkan Dr Mahathir antara individu berprofil tinggi yang disiasat oleh pihaknya berhubung pengisytiharan harta yang mendorong kedua-dua anak beliau, Mirzan dan Tan Sri Mohkzani diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Pada 18 Januari lepas, SPRM meminta kedua-dua anak Dr Mahathir, Mirzan dan Mohkzani, mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangan sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.
Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Sementara itu, ditanya mengenai pelanjutan kontrak beliau sebagai tonggak nombor satu SPRM, Azam berkata beliau tidak menolak sebarang spekulasi.
"Wallahualam. Saya ada masa sehingga 12 Mei ini," katanya.
Azam, 61, bersara wajib pada Mei tahun lalu dan disambung kontrak sebagai Ketua Pesuruhjaya bagi tempoh setahun yang berakhir bulan ini. - Sinar Harian
#Tun Mahathir #SPRM #tiada hasrat tahan Tun M #Azam Baki
;