SPRM temui perbelanjaan mencurigakan dalam transaksi kad kredit korporat Mara Corp

Bernama
Februari 14, 2022 22:36 MYT
Pengurusan MARA Corp telah diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya esok. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati terdapatnya beberapa perbelanjaan yang mencurigakan, dalam siasatan membabitkan dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat MARA Corporation (MARA Corp).
Berikutan itu sumber SPRM berkata pihak pengurusan MARA Corp, telah diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya esok, untuk menjelaskan mengenai garis panduan penggunaan kad kredit korporat agensi berkenaan.
"Dalam siasatan SPRM berhubung penyalahgunaan kad kredit korporat MARA Corp sejak minggu lepas, didapati terdapat perbelanjaan yang mencurigakan melibatkan beberapa pembelian barangan dan perkhidmatan, yang tidak melibatkan agensi berkenaan sepanjang Mac hingga Dis tahun lepas," katanya kepada Bernama.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai barangan dan perkhidmatan yang dibeli menggunakan kad kredit itu.
Pada Khamis lepas, media melaporkan SPRM telah memulakan siasatan dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat oleh pengurusan tinggi MARA Corp.
Dalam pada itu mengulas mengenai perkembangan siasatan membabitkan dakwaan salah laku dan integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara), beliau berkata seramai 17 individu telah selesai dirakam keterangan dan 10 lagi akan dipanggil dalam minggu ini.
"Kita jangka pada Khamis ini, kertas siasatan berkaitan kes ini akan dapat dibentangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Pada 5 Feb lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.
Pada 7 Feb pula, SPRM menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada Mara, Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat.
-- BERNAMA
#SPRM #MARA #MARA Corp #ked kredit
;