SPRM tak tolak kemungkinan panggil Radzi Jidin - Azam
Hasimi Muhamad
September 24, 2023 16:04 MYT
September 24, 2023 16:04 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan memanggil bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin bagi membantu siasatan berkaitan projek percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.
"Sesiapa yang terlibat kita akan panggil... tetapi berhubung dengan Datuk Radzi Jidin ini, kita tidak menolak kemungkinan akan panggil beliau.
"Tetapi bukan sekaranglah.Kita kena kumpul keterangan dulu dan tengok keperluan untuk panggil beliau.
"Kita juga akan panggil lebih ramai saksi bagi membantu siasatan kes ini," katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Pada Sabtu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan dua individu, termasuk bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan.
Mereka ditahan pada pukul 11 malam kelmarin ketika diminta hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, sebelum Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Nur Adilah Halid membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman kedua-dua suspek selama empat hari bermula hari ini hingga 26 September 2023.
Susulan itu, Radzi dalam satu kenyataan menafikan terbabit dalam sebarang dakwaan berkaitan siasatan rasuah ke atas satu projek rundingan terus percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah membabitkan lebih RM80 juta.
Radzi berkata, dakwaan yang dilemparkan dalam mesej WhatsApp yang tular adalah untuk memberi gambaran buruk terhadap dirinya.