SPRM tahan tiga individu kerana tuntutan palsu RM400,000

Bernama
November 1, 2016 18:14 MYT
Sumber daripada SPRM memaklumkan, ketiga-tiga individu lelaki berusia 30-an itu ditahan kira-kira 10 pagi tadi. - Gambar fail / Astro AWANI
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang pegawai teknikal sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dua kontraktor kerana disyaki membuat tuntutan palsu bernilai RM400,000.
Masing-masing yang berumur lingkungan 30-an ditahan selepas tiba di pekarangan pejabat SPRM Kedah pada pagi Selasa bagi membantu siasatan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 pada Julai lalu apabila mengemukakan tuntutan palsu kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah sedangkan projek tidak dilaksanakan.
Tuntutan bagi projek bernilai RM1.5 juta itu melibatkan kerja menaik taraf Sungai Tanjung Pauh, Terusan Utama dan Terusan Utara Mada, Sungai Anak Bukit dan kerja-kerja berkaitan rancangan tebatan banjir Sungai Kedah dan Anak Bukit.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak lebih daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pegawai teknik GLC berkenaan dikatakan ditahan kerana disyaki membuat pengesahan terhadap butir tuntutan palsu oleh dua kontraktor tersebut yang masing-masing berasal dari Pulau Pinang dan Alor Setar.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.
#dua kontraktor #pegawai GLC #SPRM #SPRM Kedah #Telekom Malaysia #tuntutan palsu
;