SPRM tahan tiga individu disyaki seleweng dana syarikat

Bernama
Ogos 9, 2024 15:53 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) kerana disyaki menyeleweng dana RM1.5 juta milik sebuah syarikat tersenarai awam. - Foto ihsan SPRM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) kerana disyaki menyeleweng dana RM1.5 juta milik sebuah syarikat tersenarai awam.
Menurut sumber SPRM kesemua suspek, ditahan sekitar 7 petang hingga 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya, berhubung penyelewengan membabitkan projek pembinaan dan perlombongan bernilai kira-kira RM80 juta.
"Siasatan awal mendapati kesemua suspek juga dipercayai terlibat dalam menubuhkan sebuah syarikat yang tidak diluluskan Ahli Lembaga Pengarah, bagi tujuan menjalankan projek kerjasama yang bernilai kira-kira RM258 juta.
"Selain itu, mereka turut disyaki terlibat menyeleweng dana kutipan sewaan hartanah milik syarikat tersebut bernilai kira-kira RM3 juta," menurut sumber tersebut.
Perintah reman empat hari sehingga 12 Ogos, dikenakan ke atas dua suspek lelaki dan seorang wanita masing-masing berumur antara 40 hingga 50-an oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
#SPRM #seleweng dana syarikat #GCEO #syarikat tersenarai awam