SPRM tahan sembilan kontraktor kerana kemuka penyata bank palsu

Astro Awani
Mac 28, 2022 21:33 MYT
SPRM Sabah menahan sembilan kontraktor yang didakwa telah melakukan kesalahan mengemukakan penyata bank palsu di sebuah pejabat kerajaan di Semporna. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah, Cawangan Tawau menahan sembilan kontraktor yang didakwa telah melakukan kesalahan mengemukakan penyata bank palsu di sebuah pejabat kerajaan di Semporna.
Menurut Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy, suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan umur 29 hingga 56 tahun dipercayai melakukan kesalahan itu pada 2017 atas dasar mendapatkan sebut harga berkaitan kontrak pengurusan kantin dua tahun bernilai lebih RM200,000.
"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
"Semua kontraktor terbabit yang terdiri daripada empat wanita dan lima lelaki ditahan pada pagi Isnin di pejabat SPRM Cawangan Tawau," katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Tawau, Sabah dalam masa terdekat.
Terdahulu, kes yang sama turut direkodkan oleh SPRM Cawangan Keningau pada Jumaat membabitkan dua kontraktor berusia 25 hingga 32 tahun.
Mereka dikehendaki kerana terlibat dengan pemalsuan penyata bank berjumlah RM5 juta bagi mendapatkan tender perkhidmatan pembekalan makanan bagi sekolah asrama rendah dan menengah di negeri itu.
#sprm sabah #Tawau #pemalsuan penyata bank #Pengarah SPRM Sabah
;