SPRM tahan penolong jurutera universiti awam disyaki salah guna kuasa sebabkan kerugian setengah juta ringgit
Bernama
Februari 25, 2025 09:15 MYT
Februari 25, 2025 09:15 MYT
SPRM Johor menahan seorang penolong jurutera universiti awam kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan melupuskan sisa binaan bagi sebuah projek menaik taraf hingga menyebabkan kerugian kira-kira RM500,000.
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang penolong jurutera universiti awam kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan melupuskan sisa binaan bagi sebuah projek menaik taraf hingga menyebabkan kerugian kira-kira RM500,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 44 tahun itu telah ditahan kira-kira 7 malam tadi di Pejabat SPRM Johor, di sini.
Difahamkan, suspek telah menggunakan kuasa dan kedudukannya sebagai wakil universiti bagi sebuah projek menaik taraf infrastruktur dan sistem mekanikal, elektrikal serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bernilai lebih RM13 juta dengan melupuskan sisa binaan tersebut hingga menyebabkan pihak universiti berkenaan mengalami kerugian dianggarkan RM500,000.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini bagi permohonan reman. - BERNAMA