SPRM tahan pengurus sumber manusia kemuka tuntutan palsu lebih RM200,000
Bernama
November 8, 2023 21:36 MYT
November 8, 2023 21:36 MYT
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pengurus sumber manusia bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM200,000.
Menurut sumber, wanita berusia 35 tahun itu ditahan di pejabat SPRM di sini selepas hadir memberi keterangan, kira-kira pukul 10 pagi tadi.
"Difahamkan, individu tersebut bertugas di sebuah syarikat swasta, telah mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui Borang Pengesahan Pekerja secara dalam talian yang mengandungi butir matan palsu bagi memperoleh peruntukan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
"Ia (dipercayai) bagi melaksanakan 'Program Insentif Pengambilan Pekerja', sedangkan program tidak dilaksanakan sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Bagaimanapun, wanita tersebut dilepaskan dengan jaminan SPRM, menurut beliau.
-- BERNAMA