SPRM tahan pengarah syarikat disyaki terbabit pengubahan wang haram jual beli kapal tangki

Bernama
Mac 12, 2025 17:40 MYT
Menurut sumber, lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira 4.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor. - Foto ihsan SPRM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah syarikat bergelar "Datuk" selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram hasil daripada urusan jual beli sebuah kapal tangki.
Menurut sumber, lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira 4.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor.
"Lelaki terbabit dipercayai menerima, memindah serta menggunakan hasil haram melibatkan urusan jual beli sebuah kapal tangki menerusi perjanjian jual beli yang ditandatangani dengan sebuah syarikat lain sekitar November 2021.
"Suspek dipercayai terbabit kegiatan pengubahan wang haram berkenaan antara 2021 hingga 2022," katanya.
Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM Norhaizam Muhammad mengesahkan tangkapan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Menurut sumber, Majistret Noorfazlin Hamdan membenarkan lelaki terbabit direman empat hari hingga 15 Mac ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Johor Bahru, pagi tadi.
-- BERNAMA
#SPRM Johor #pengarah syarikat bergelar datuk #pengubahan wang haram #kapal tangki
;