SPRM tahan pemilik syarikat palsukan dokumen kerja penyelenggaraan lebih RM1 juta

Bernama
Ogos 7, 2023 22:00 MYT
Difahamkan, suspek disyaki menggunakan dokumen palsu untuk tujuan menipu bagi mendapatkan kerja penyelenggaraan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020. - Gambar hiasan
TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua pemilik syarikat kerana disyaki menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan kerja penyelenggaraan berjumlah lebih RM1.1 juta.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira 2 petang ketika hadir di Pejabat SPRM Cawangan Tawau semalam.
Difahamkan, mereka disyaki menggunakan dokumen palsu untuk tujuan menipu bagi mendapatkan kerja penyelenggaraan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Katanya, mereka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Tawau mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan pada Rabu ini.
-- BERNAMA
#SPRM #pemilik syarikat #dokumen palsu #Tawau