SPRM tahan pemilik syarikat kemuka tuntutan palsu di Tawau

Bernama
Julai 29, 2024 15:58 MYT
Menurut sumber, lelaki berusia 60-an itu ditahan kira-kira 9 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM. - Gambar fail/Bernama
TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang pemilik syarikat kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan sebut harga untuk kerja baik pulih serta penyelenggaraan dua sekolah bernilai kira-kira RM200,000.
Menurut sumber, lelaki berusia 60-an itu ditahan kira-kira 9 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM di sini
"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2020.
"Suspek disyaki menggunakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan sebut harga kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan dua sekolah di negeri ini di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE)," katanya di sini hari ini
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Tawau esok.
-- BERNAMA
#Mahkamah Sesyen #SPRM #tuntutan palsu #PRE