SPRM tahan pegawai wanita Jabatan Agama Islam Johor
Hakim Rahman
Jun 16, 2020 20:06 MYT
Jun 16, 2020 20:06 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Segamat menahan seorang penolong pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) hari ini bagi membantu siasatan satu kes rasuah.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, suspek seorang wanita berusia 37 tahun yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam itu ditahan kira-kira jam 3.00 petang tadi di Pejabat SPRM Johor.
Hasil siasatan awal, suspek dipercayai telah meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM130,000 daripada beberapa orang kontraktor sebagai balasan bagi mendapatkan kerja-kerja bekalan di JAINJ.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000.00 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.