SPRM tahan lima individu terlibat sindiket seleweng diesel

Pia Ernadya
Ogos 25, 2024 22:57 MYT
Azam Baki berkata, tahanan melibatkan tiga lelaki dan dua wanita berusia 30 hingga 60-an. - Gambar SPRM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima individu termasuk empat pengusaha stesen minyak kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan menyeleweng minyak diesel bersubsidi milik persatuan nelayan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tahanan melibatkan tiga lelaki dan dua wanita berusia 30 hingga 60-an.
"Turut dirampas dalam serbuan di Sungai Bidut, Sibu pada petang Ahad, wang tunai RM3.7 juta, dua tongkang serta 30 tangki minyak membabitkan kira-kira 1.6 juta liter minyak diesel. Mereka yang ditahan adalah empat pengusaha stesen minyak yang dipercayai menjadi dalang kegiatan penyeludupan minyak diesel serta seorang orang tengah yang dipercayai terbabit urusan jual beli dengan pembeli luar.
"Berdasarkan siasatan dan risikan yang dijalankan, sindiket ini dipercayai sudah beroperasi sejak tahun 2012 dan telah mengaut keuntungan sehingga RM400 juta dengan menjual minyak diesel bersubdisi untuk kegunaan nelayan kepada pihak luar pada kadar harga tertentu.
"Sindiket ini dipercayai telah memindahkan minyak diesel berkenaan daripada tangki-tangki yang dikhaskan untuk nelayan ke dalam tongkang yang berlabuh di depoh berkenaan kemudian, minyak daripada tongkang berkenaan dipercayai dipindahkan ke kapal-kapal milik pembeli dari negara luar pada waktu malam bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, dalam serbuan di depoh minyak berkenaan, terdapat dua tongkang yang sedang berlabuh dan masing-masing sudah diisi dengan kira-kira 160,000 dan 100,000 liter minyak diesel selain 30 tangki minyak yang dipercayai tidak mempunyai permit untuk menyimpan diesel terbabit.
"Kesemua sitaan minyak diesel terbabit diserahkan kepada KPDN bagi tujuan penjualan semula kepada pelesen yang sah," katanya.
Menurutnya lagi, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Sibu bagi proses permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
#Mahkamah Majistret #SPRM #stesen minyak #waktu malam