SPRM tahan lapan suspek tawar kelulusan lesen kenderaan perdagangan
Khalis Khadir
Januari 8, 2025 19:36 MYT
Januari 8, 2025 19:36 MYT
KUALA LUMPUR: Lapan individu termasuk pengarah sebuah agensi di bawah sebuah kementerian selain tiga pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu.
Menurut sumber, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan di beberapa lokasi sekitar Melaka dan Lembah Klang susulan siasatan berhubung isu rasuah membabitkan pemeriksaan kenderaan perdagangan sebelum ini.
Mereka disyaki terbabit dalam kegiatan mendapatkan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) daripada sebuah agensi tanpa memenuhi syarat ditetapkan Kementerian Pengangkutan.
Syarikat terbabit dipercayai bersekongkol dengan pegawai daripada agensi berkenaan dengan menyediakan maklumat palsu bagi mendapatkan surat tawaran kelulusan permohonan baharu LKP Kelas Lesen Pembawa dengan bayaran RM3,500 setiap permohonan.
“Pihak syarikat akan membantu mana-mana pihak memalsukan dokumen seperti penyata bank dan menguruskan proses permohonan Surat Kelulusan Lanjut Usia bagi membolehkan kenderaan Perdagangan menjalani Pemeriksaan Awalan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Berdasarkan risikan SPRM, bayaran rasuah dikenakan adalah RM3,000 sehingga RM20,000 bergantung kepada jenis dan usia kenderaan serta keupayaan syarikat-syarikat yang ingin memperolehi Lesen Kenderaan Perdagangan ini,” katanya.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, permohonan reman akan dibuat pada Khamis untuk siasatan mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.