SPRM tahan guru disyaki salah guna kuasa

Adie Sufian Zulkefli
Jun 23, 2021 16:35 MYT
Seorang guru sekolah menengah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, kerana disyaki menyalah guna kuasa bagi pembekalan alat ganti automotif. - Gambar hiasan
SUNGAI PETANI: Seorang guru sekolah menengah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, kerana disyaki menyalah guna kuasa bagi pembekalan alat ganti automotif.
Guru lelaki berusia 43 tahun yang juga Ketua Panitia Mata Pelajaran Vokasional (MPV) ditahan di Pejabat SPRM Sungai Petani pada jam 11.40 pagi Rabu.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap memaklumkan, suspek disyaki menggunakan kedudukannya untuk memilih syarikat adiknya bagi membekalkan alat ganti automotif bernilai RM16,775.40 kepada sekolah terbabit.
Suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara tahun 2010 hingga 2019.
Suspek kini ditahan bagi proses rakaman percakapan dan siasatan lanjut.
Bagaimanapun Shaharom memaklumkan, suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
#SPRM #guru sekolah menengah #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #Shaharom Nizam Abd Manap #vokasional
;