SPRM tahan guru besar buat tuntutan palsu
Sinar Harian
September 27, 2021 06:15 MYT
September 27, 2021 06:15 MYT
SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan seorang guru besar bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM2,500, dua tahun lalu.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 57 tahun itu, ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan kira-kira jam 1.30 petang pada Isnin, selepas hadir memberikan keterangan.
Sinar Harian difahamkan, pada penghujung tahun 2019, suspek telah membuat tuntutan palsu bagi beberapa program di sekolah berkenaan dengan menggunakan peruntukan Bantuan Makanan Prasekolah (BMP), sedangkan program-program tersebut tidak dilaksanakan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Tambahnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa untuk permohonan reman.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.