SPRM tahan empat termasuk pengarah, timbalan pengarah jabatan

Bernama
Ogos 11, 2024 16:30 MYT
Empat individu termasuk dua berpangkat pengarah dan timbalan pengarah sebuah jabatan di Melaka direman satu hingga tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah tahun lepas. -Gambar fail
MELAKA: Empat individu termasuk dua berpangkat pengarah dan timbalan pengarah sebuah jabatan di Melaka direman satu hingga tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah tahun lepas.
Tiga lelaki dan seorang wanita berusia 34 hingga 60 tahun itu ditahan kira-kira 5 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka berhubung siasatan berkaitan rasuah bagi meluluskan tuntutan kerja di jabatan tersebut yang mempunyai butiran matan palsu.
Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas semua suspek.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun," katanya.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rafidah Che Aziz membenarkan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 13 Ogos terhadap tiga suspek manakala seorang lagi direman selama sehari.
-- BERNAMA
#SPRM #pengarah dan timbalan pengarah #jabatan di Melaka #Rasuah
;