SPRM tahan dua pegawai polis, lebih RM1 juta ditemui

Astro Awani
Jun 1, 2018 00:37 MYT
Kedua-dua pegawai polis berkenaan kemudian dibawa ke pejabat STAGG di Pusat Latihan (PULAPOL) Kuala Lumpur untuk pemeriksaan. - Gambar fail
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai kanan polis di sebuah bengkel kereta di Subang Jaya, pada Jumaat.
Dua pegawai yang masing-masing berpangkat Asisten Komisioner dan Asisten Superintendan itu berkhidmat di bahagian Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman.
Berita Harian melaporkan, sumber SPRM memberitahu kedua-dua suspek berada di lokasi bersama seorang awam ketika serbuan dilakukan.
"Pemeriksaan menemui wang berjumlah RM341,000 di kedai berkenaan.
"Pegawai SPRM kemudian membawa kedua-dua lelaki itu ke sebuah kondominium milik seorang daripada suspek dan menemui wang tunai anggaran RM400,000 hingga RM700,000," kata sumber SPRM itu.
Kedua-dua pegawai polis berkenaan kemudian dibawa ke pejabat STAGG di Pusat Latihan (PULAPOL) Kuala Lumpur untuk pemeriksaan.
"Pemeriksaan di pejabat berkenaan menemui wang dianggarkan lebih RM225,000.
"Pemeriksaan dan serbuan selesai kira-kira jam 6.40 petang dan kedua-dua pegawai kanan polis berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.
#Bukit Aman #Malaysia #polis #rampas #SPRM #STAGG #Tahan #wang
;