SPRM tahan dua individu terlibat pembelian helikopter ATM

Afiezy Azaman
Jun 21, 2019 06:16 MYT
Sidang media khas SPRM di Putrajaya hari ini. - Astro AWANI/Shahir Omar
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu yang dikaitkan dengan pembelian enam helikopter bernilai lebih RM300 juta pada 2016 yang masih belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga kini.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki, dua individu itu dikenal pasti sebagai orang yang mendapatkan projek berkenaan.
"Kita sudah siasat dan kita telah menahan dua orang daripada syarikat yang mendapatkan projek itu, mereka telah pun direman selama enam hari bermula tiga hari lalu," katanya selepas sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan helikopter tempur ringan MD530G keluaran syarikat Amerika Syarikat (AS), McDonnell Douglas itu sepatutnya diterima dalam dua fasa iaitu dua buah pada Julai 2017 dan selebihnya pada Disember 2018.
Pembelian aset tentera itu juga, yang diluluskan pada November 2016 dibuat tanpa melalui prosedur yang ditetapkan kerajaan.
#Angkatan Tentera Malaysia #Azam Baki #helikopter #MD Helicopters #pembelian helikopter tempur malaysia #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia